
Musuh dalam selimut terdiri dari golongan munafikin yang sentiasa berdendam dengan Nabi s.a.w., namun mereka adalah golongan pengecut yang takut berdepan secara terbuka terhadap Nabi s.a.w., akhirnya memilih satu cara dengan menyerang orang yang menjadi musuhnya melalui khabar al-Ifqi iaitu berita palsu bersifat fitnah.
Kaum munafik menggunakan senjata "fitnah", sasarannya ialah Ummahatul Mukminin Siti Aisyah. Serangan fitnah itu sememangnya menimpakan kesan yang sangat berat kepada Rasulullah s.a.w., lebih berat kesannya berbanding dengan tuduhan-tuduhan yang lain yang pernah diterima oleh Nabi s.a.w.
Apabila Siti Aisyah yang suci bersih dituduh berlaku curang dengan lelaki lain, ternyata serangan itu mendatangkan rasa resah dan terlalu dukacita bukan saja kepada Ummahatul Mukminin itu sendiri, bahkan terhadap Nabi s.a.w. juga.
Sememangnya seorang isteri adalah orang yang amat diperlukan dalam kehidupan berkeluarga. Apabila Isteri yang baik menjadi buah mulut orang ramai dalam perkara yang menyentuh marwah, ia benar-benar menyusahkan hati suami. Hendak dicerai tidak ada bukti, hendak dibiarkan malangnya orang ramai bercakap tentang kecurangan isteri. Maka timbul masalah dalam hati suami khasnya Rasulullah s.a.w.
Orang-orang munafik sememangnya tidak berdaya hendak melawan secara berdepan dengan Nabi s.a.w., kerana mereka tidak mempunyai hujah atau alasan yang benar. Tetapi oleh kerana hati orang munafik sentiasa berdendam terhadap Nabi s.a.w., maka mereka melakukan yang karut marut iaitu melontarkan fitnah kerana hendak menjejaskan marwah dan menyusahkan hati Nabi s.a.w.
Inilah perangai jahat orang-orang munafik sejak dahulu hingga ke hari kiamat. Justeru itu jika terdapat tuduhan terhadap pejuang Islam telah menimbulkan pecah belah dalam masyarakat, maka sebaik-baik orang yang menuduh itu diajak berdepan untuk jawab tuduhan itu dengan hujah al-Quran dan sunnah.
Tetapi sampai bila pun golongan munafik itu tidak akan bersemuka bagi menyelesaikan tuduhan, kerana apa yang mereka katakan terhadap Islam itu adalah dusta. Mereka sememangnya mempunyai agenda buruk dengan meneruskan pembohongan terhadap Islam, setelah mereka tidak terdaya berhujah berasaskan fakta yang sebenar.
Tabiat orang munafik selama-lamanya lebih keras, dari tabiat pihak musuh Islam yang lain. Mereka lebih bijak berdusta dan tentang menimbulkan kesusahan kepada pihak Nabi s.a.w. dan juga Islam. Kerana peluang-peluang untuk menyusahkan Nabi s.a.w. lebih terbuka luas di hadapan mereka jika dibanding dengan orang lain.
Mereka mempunyai peluang untuk melakukan pendustaan kerana sememangnya mereka sentiasa berfikir untuk menipu orang-orang yang beriman. Sedangkan di pihak Islam tidak perlu berhelah apatah lagi berdusta, kerana Islam itu mampu disebarkan tanpa menipu sesiapa. Sesungguhnya Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah sebagai agama yang terbaik dan paling sempurna.
Dalam begitu banyak berita penipuan terhadap Nabi s.a.w. ialah penyebaran berita yang menuduh Ummahatul Mukminin Siti Aisyah berlaku curang dengan seorang lelaki semasa pulang dari medan perang Bani Mustolaq.
Mengapakah Khabar al-Ifqi atau berita tuduhan curang terhadap Siti Aisyah itu benar-benar telah menyusahkan hati Nabi s.a.w., kerana sebanyak mana sakit hati yang dicalar oleh fitnah-fitnah yang lain adalah merupakan perkara yang telah diduga oleh Nabi s.a.w.
Nabi s.a.w. sama sekali tidak menduga bahawa golongan munafik begitu nekad menyebarkan tuduhan yang begitu berani. Tuduhan fitnah yang membabitkan marwah isteri Nabi sehingga sebahagian orang Islam turut terbabit dalam berita ifqi itu. Justeru itu apabila perkara yang di luar jangkaan itu terjadi, memang jiwa Nabi s.a.w. benar-benar telah terpukul dalam keadaan tidak bersedia.
Musuh-musuh Islam menuduh Nabi s.a.w. dengan pelbagai tuduhan seperti gila, ahli sihir, gila kuasa dan sebagainya. Nabi menghadapinya dengan tenang kerana tuduhan seperti itu telah menimpa Nabi-Nabi terdahulu.
Ia tidak menghairankan jika Nabi s.a.w. dituduh memecahbelahkan masyarakat, kerana Nabi membawa ajaran tauhid di tengah-tengah masyarakat musyrik penyembah berhala. Sudah tentu antara tauhid dan syirik tidak dapat disatukan.
Dengan sendirinya masyarakat akan menjadi dua puak iaitu puak yang mengamal ajaran tauhid, sementara satu puak ialah puak musyrik penyembah berhala. Kedua puak sentiasa bercanggah, bererti mereka berpecah kerana berbeza kepercayaan dan keyakinan.
Segala tuduhan seperti itu sedikit pun tidak menyusahkan Nabi s.a.w. kerana ia lumrah kepada Nabi-Nabi yang terdahulu menerima tuduhan seperti itu.
Adapun tuduhan isteri Nabi berlaku curang dengan seorang lelaki, adalah suatu tuduhan yang berat. Ia di luar dugaan dan Nabi s.a.w. tidak terfikir tuduhan seumpama itu ditujukan kepada isterinya, yang dengan sendirinya menjejaskan marwah seorang Nabi dan Rasulullah.
Ia datang dengan mendadak dalam keadaan jiwa Nabi s.a.w. tidak bersedia untuk berdepan dengan fitnah yang begitu keji. Adalah terlalu luar biasa isteri seorang Rasul dituduh melakukan perbuatan keji, bukan mudah untuk menelan tuduhan keji itu jika Nabi bukan orang yang cekal dan bersabar.
Sesungguhnya tuduhan isteri berlaku curang itu tidak termasuk dalam senarai yang lazimnya berlaku ke atas Nabi-Nabi terdahulu. Ia adalah perkara baru bagi Nabi s.a.w. dan ia benar-benar tidak berasas.
Kalaulah berita itu sahih tentulah merupakan tikaman yang begitu tajam dan sangat mendalam tentang perkara yang benar-benar menjadi kehormatan diri. Inilah yang dilakukan oleh orang-orang munafik terhadap Nabi Muhammad s.a.w., satu tindakan yang amat melukakan hati Nabi s.a.w.
Sesungguhnya setiap insan itu dikurniakan harga diri iaitu kehormatan dan marwah yang sangat tinggi nilainya. Hasil dari kajian menunjukkan bahawa kesan yang menimpa jiwa Nabi sangat dahsyat hasil dari berita ifqi itu, jika dibanding dengan mihnah dan tuduhan lain yang dilontarkan kepada Nabi s.a.w., kerana berita ifqi itu menyentuh masalah "Izzah bin nafsi" atau kemuliaan diri seorang Nabi Allah