Wednesday, December 31, 2008

Manusia Berhubung Dengan Perasaan

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
19 Mei 2007

“Ustaz, saya hairan macam mana ustaz kawal kursus yang ustaz anjurkan? Dua tiga orang, cukupkah?”, tanya seorang pelajar kepada saya.

“Emm, menarik juga soalan tu. Ustaz pernah kendalikan kursus untuk pegawai penguatkuasa seramai 72 orang hanya dengan dua tenaga sahaja”, saya cuba menyelak memori semasa bekerja sepenuh masa dengan Fitrah Perkasa.

“Macam mana nak kawal orang ramai macam tu? Kami kalau nak anjurkan kursus, tamrin atau program induksi, paling kurang kena ada 20 orang AJK. Silap-silap sama ramai dengan peserta”, sambung pelajar itu lagi.

Kami ketawa.


Ya, bagi seorang pelajar, mungkin agak menghairankan bagaimana saya dan tenaga kerja Fitrah Perkasa boleh mengendalikan kursus selama 3 Hari 2 Malam, sedangkan nisbah fasilitator dengan peserta ialah 1:25 malah pernah 1:40.

Ia bukanlah soal pelajar atau pekerja. Tetapi cara kita menilai dan melayan kemanusiaan manusia.

“Apabila kursus bermula, kita kena faham yang mungkin 90% daripada peserta itu hadir kerana terpaksa. Hadir kerana diwajibkan oleh syarikat”, saya memulakan perkongsian idea.

“Rasa terpaksa itu selalunya bukan dibuat-buat. Memang setiap seorang peserta itu datang dengan membawa luggage kehidupan masing-masing. Ada yang terpaksa meninggalkan ibu di hospital. Ada yang terpaksa mengupah pemandu teksi untuk mengambil dan menghantar anak di sekolah. Ada yang isteri terpaksa mengambil cuti, dan macam-macam lagi”, saya mahu pelajar ini melihat apa yang tidak diperlihatkan.

KEPEDULIAN

“Ingat tak kepada ungkapan yang ustaz selalu sebut tentang hal ini?”, saya bertanya.

“Apa dia ustaz?”, pelajar itu tidak pasti.

“People don’t care how much you know until they know how much you care! Orang tak peduli sebanyak mana kita tahu, sehinggalah mereka tahu sejauh mana kita peduli”, saya cuba mengingatkan pelajar tersebut.

“Oh, ya saya ingat dah”, katanya sambil tersenyum.

Sesi pertama saya bersama peserta mana-mana kursus, saya dilatih di Fitrah Perkasa supaya mengusahakan keselesaan peserta. Tunjukkan kepada mereka dengan hati yang tulus ikhlas, bahawa kita memahami dan mengambil kira kesusahan masing-masing untuk datang ke program tersebut. Saya perlu tenteramkan peserta dan “cuba mengambil hati mereka”.

“Kursus ini tidak ada agenda cium pokok, makan bubur kulit limau, atau rendam kepala dalam air. Kursus ini kursus tuan-tuan dan puan-puan. Solat 5 kali, makan 6 kali! Anggap sahajalah ia cuti-cuti Malaysia. Jalan-jalan cari…?”, saya mencuba ice-breaking.

“Makannn!!!”, sahut peserta diiringi gelak ketawa mereka.

“Sudah-sudahlah cari makan tu ya. Biarlah kali ini kita jalan-jalan cari ilmu pula!”, saya atau mana-mana sahaja fasilitator Fitrah Perkasa akan berusaha memesrakan diri dengan peserta.

Ketika itu lazimnya peserta ini akan bergurau sesama mereka.

“Ha, tu la nko, asyik fikir makan aje. Malu la sikit kat ustaz!”, kata seorang peserta kepada rakan di sebelahnya.

Saya hanya membiarkan mereka saling bergurau. Tetapi mata saya terus memerhati seorang demi seorang peserta. Siapakah di peringkat itu yang masih sejuk dan beku. Masih masam dan berwajah jemu. Perhatikan… dan camkan orang dan namanya.

Semasa sesi perkenalan selesai, ketika orang sedang makan-makan, saya atau mana-mana fasilitator akan datang secara halus kepada peserta yang pendiam itu, duduk di sebelahnya, dan menawarkan kuih yang diambil.

Bertanyakan nama, rumah di mana dan cuba cari satu dua tajuk yang boleh dijadikan titik perbualan.

“Oh, Encik Zam tinggal di Cheras. Saya pun sama. Cuma saya di Taman Midah. Encik Zam duduk di bahagian Cheras yang mana?”, saya mengusahakan perbualan.

“Saya di Cheras Jaya”, jawab peserta tersebut perlahan.

“Gitu… saya tak tahu sangat Cheras Jaya di sebelah mana. Cuma adalah perasan signboard tu”, saya menyimpulkan persoalan yang dikongsi.

Cukup setakat itu. Apabila dia sudah sudi menjawab soalan yang ditanya, ia sudah cukup baik. Tidak perlu dikorek pada masa itu masalah yang dihadapinya. Simpan di hari kedua nanti. Jangan jadi ‘penceroboh’, menceroboh hidup orang. Cukup sekadar kita tunjukkan dengan perbuatan yang kita ini pedulikan dia. Kehadirannya kita sedari dan telah ditanda dengan perbualan ringkas itu.

Begitulah selalunya.

HASAN AL-BANNA DARI KACA MATA ABBAS AL-SISI

Saya sentiasa ingat kisah yang diceritakan oleh Abbas Al-Sisi di dalam bukunya “Jalan Menuju Hati“ tentang pendekatan Hasan al-Banna di dalam dakwahnya.

Suatu ketika seorang lelaki datang ke pejabat Ikhwan al-Muslimin untuk mendaftar sebagai ahli. Apabila Hasan al-Banna melihatnya, beliau berkata, “Assalamualaikum ya Muhammad”

Lelaki itu amat terkejut. Bagaimanakah Hasan al-Banna tahu namanya. Kata Hasan al-Banna, “aku pernah mendengar rakanmu melaungkan namamu semasa kita di sebuah stesyen keretapi!”

Begitu sekali Hasan al-Banna sensitif dalam memenangi hati manusia di sekitarnya. Ia bukanlah skill yang dibuat-buat, tetapi datang dari jiwa yang mempercayai bahawa manusia berhubung dengan perasaan, bukan formaliti dan ilmu kepandaian. Apatah lagi hubungan paksaan.

SUKA MENGHINA DAN MEMALUKAN PESERTA

Namun saya tidak nafikan, dalam pelbagai program sama ada di peringkat pelajar sehinggalah ke alam pekerjaan, memang ramai yang suka membuat pendekatan memalu dan mendera peserta.

“Minta maaf tuan-tuan dan puan-puan. Di sini tak ada Dato’ dan Datin, tak ada Bos dan Manager, semua jawatan tu gantung kat pintu masuk tu. Di sini, saya bos!”, kata seorang penyelia kursus.

“Kamu semua akan diuji sejauh mana ketahanan fizikal dan mental. Maka jangan nak mengeluh kalau makanan tak seperti yang diharapkan”, kata pengarah sebuah program induksi pelajar.

Lalu peserta dikerah mendengar ceramah sehingga pukul 1 pagi. Kemudian bangun jam 4 untuk Qiamullail. Seterusnya sarapan pagi hanya roti keras cicah air sejuk. Dan makan tengah hari, nasi bubur bercampur kulit oren dan biji kopi.

Apa alasan berbuat demikian?

Mahu membina ketahanan mental.

Ketahanan mental atau masalah mental?

TENTERA LAIN

Saya tidak pasti dan tidak ada membuat kajian, dari manakah datangnya kepercayaan perbuatan memalukan manusia dan mendera fizikal, boleh membawa kepada ketahanan diri yang diperlukan? Di dalam sirah Nabi SAW, yang telah berjaya melahirkan pahlawan yang hebat-hebat, saya tidak ketemu pendekatan mendera mental sebagai pembina jati diri sebaik-baik umat itu. Soal kelasakan, ia mungkin tidak perlu dibuat-buat, kerana memang nature kehidupan Arab itu kasar dan amat mencabar.

Namun saya akui, pendekatan itu sudah pun diterima sebagai sebahagian proses membentuk pasukan keselamatan. Polis, tentera, dan mereka yang seangkatan dengannya. Tentu kelasakan begitu adalah sebahagian daripada proses pembentukan.

Tetapi untuk kursus motivasi, program induksi pelajar baru, atau Tamrin membina kefahaman Islam… perbuatan-perbuatan seperti itu hanya memperbodohkan peserta sahaja. Tambahan pula anda hanya penganjur. Bukan ada kuasa untuk menguatkuasa.

Tidak hairanlah jika program begini memerlukan 20 orang AJK dengan nisbah fasilitator dengan peserta 1:2!

Anda bertindak sebagai pengawal, maka berkawallah anda sepanjang masa.

Kita sibuk melatih kader dakwah agar tahan lasak, akhirnya majoriti kecundang sebab kesenangan hidup, bukannya kerana kepayahan.



INSIDE OUT

Tetapi saya percaya bahawa manusia adalah makhluk yang diciptakan Allah inside-out. Perubahan mesti datang dari dalam. Jika perubahan yang dimahukan itu adalah perubahan sikap, perubahan budaya kerja, semuanya membabitkan soal dalaman manusia. Maka proses mengubah manusia, mesti bersifat manusiawi.

Lihat sahaja gerakan Missionary Kristian. Mereka bukan menyampaikan ilmu tentang Bible tetapi mereka menawarkan kepedulian. Dengan kepedulian itu, ia bisa menarik orang untuk terbuka menerima idea perubahan.

Kepedulian bukan ilmu. Jauh sekali indoktrinasi. Ia adalah sikap dan akhlak seorang fasilitator, penceramah dan guru. Kepedulian itu adalah jelmaan perasaan, dan manusia saling berhubung dengan perasaan… bukannya ilmu.

Orang peduli apa, kamu banyak ilmu sampai ke puncak gunung, kalau kamu tidak berjaya menunjukkan prihatin kamu kepada orang lain.

Bahkan Nabi SAW sendiri dikenang dan dikasihi, adalah atas kasih sayangnya kepada umat. Soal ilmu yang diajar sebagai santapan akal, mungkin 7%, tetapi sentuhan akhlak baginda yang tinggi. Keprihatinan baginda, terserlah di dalam peristiwa baginda pergi melawat wanita Yahudi yang tiba-tiba tidak muncul hari itu untuk seperti biasa menyakiti baginda.

Saya ulangi kembali, “people don”™t care how much you know until they know how much you care!“

Jika anda buat program untuk tunjuk pandai, maka bertarunglah anda dengan tindakan peserta yang memperlekeh, buat dunno, atau membalas kembali hujah anda dengan bidasan yang memalukan diri.

Tetapi jika anda buat program untuk memandaikan peserta mengurus kehidupan, maka berikan keselesaan kepada mereka, tenangkan mereka, menangi hati mereka dan berikan apa yang mereka perlu, bukannya apa yang anda tahu.

Kita mahukan dari peserta itu perHATIan, bukannya perAKALan. Jika hati yang mahu dimenangi, binalah jambatan, bukannya tembok.

JADUAL YANG RIGID

Di antara penyakit pelajar semasa menganjurkan program, mereka sangat rigid dengan kepatuhan masa berdasarkan apa yang dilakarkan di atas kertas jadual program. Walhal jadual masa itu bukannya ada asas pun. Ia tidak dibuat berdasarkan kajian terhadap realiti peserta.

Makan buffet, peserta 100 orang, tempoh masa makan yang diberi ialah 1 jam. Itu tidak realistik namanya. Anda merancang untuk mencacatkan program anda sendiri.

Saya percaya, jadual mesti ada ruang anjal. Dalam jadual asal, kita tetapkan sesi tengah hari bermula pada jam 2:30 petang. Tetapi jika peserta kelihatan penat, kita boleh tawarkan peserta untuk melewatkan sesi itu kepada 3:30 petang supaya mereka sempat tidur sekejap. Cumanya, jika semua orang telah bersetuju begitu, maka semua orang kenalah tidur dan bukannya bersembang atau menonton TV.

Maka ketepatan masa, akan diukur pada masa baru yang telah dipersetujui bersama.



Saya rasa sangat badut apabila memaksa juga peserta mendengar ceramah saya dalam keadaan mereka sudah hilang upaya untuk mendengar.

Apatah lagi, jika pelajar yang menganjurkan Tamrin mahu menjana pemikiran Islam peserta, tetapi alat utama pemikiran itu ialah AKAL dan HATI sudah dimusnahkan oleh tidur yang dipotong-potong, dan hati yang disakit-sakitkan.

Ujian kelasakan fizikal, lakukan pada sesi kelasakan fizikal.

Tetapi mulakan dahulu dengan rombakan akal dan kefahaman. Rasulullah SAW tidak melatih sahabat berlaku lasak. Tetapi input kepercayaan yang teguh, menjadikan mereka lebih lasak dari mana-mana pencapaian sejarah manusia. Seorang wanita pun boleh jadi besi dengan sentuhan yang menjunam ke hati. Tanya sahaja Sumayyah, wanita syahidah pertama… kekuatan apakah yang membolehkan beliau memilih mati?

Itu dalam sejarah. Kita boleh mengeluh jika generasi manusia ini makin kemudian makin ‘manja’. Khususnya di zaman generasi yang sangat bebas berfikir ini. Tetapi itulah realitinya. Nak dimarah pun, generasi hari ini adalah begitu. Mereka mungkin lemah fizikal, tetapi mereka berani dan ganas fikiran.

Keberanian berfikir yang ada pada generasi muda hari ini, tidak membolehkan mereka memaafkan pembodohan secara mudah. Perbuatan mendoktrin dan memaksa idea hanyalah manifestasi kedangkalan penganjur yang gagal memahami bagaimana manusia berubah.

Manusia boleh ada hati sekeras batu. Jika anda mahu memecahkan batu itu, anda boleh mengetuknya dengan penukul. Tetapi jika anda mahu membentuk batu itu, maka ia memerlukan kesabaran seperti air yang sabar menitik ke atas batu, lantas beroleh kejayaan.

Di dalam setiap program, jika gagal mendapatkan kawan sekali pun, janganlah membanyak biakkan lawan.

Hormati maruah manusia, menangi hati mereka, berhubunglah sesama manusia secara manusiawi kerana manusia tidak pernah peduli sebanyak mana yang kamu tahu, hinggalah mereka tahu sejauh mana kamu peduli.

Bina jambatan… bukan tembok yang memisahkan.



Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila Engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Aal Imraan 3: 159)

Tuesday, December 9, 2008

Kamu Sentiasa Layak Diuji

“Mak kambing, maafkan saya. Saya nak ambil anak makcik untuk buat rendang ya!” pinta seorang pengusaha ternakan kambing kepada seekor kambing betina tua, yang terpinga-pinga.

Perlukah beliau meminta izin si emak untuk menyembelih si anak?

Tidak perlu.

Hakikatnya, emak kambing, ayah kambing, anak kambing dan seluruh ahli keluarganya adalah milik pengusaha ternakan kambing tersebut. Mahu diambil si emak, mahu diambil si anak, kuasa mutlak ada padanya.

Namun kerana ihsan yang ada pada diri, penternak kambing sentiasa mengambil si kambing dewasa untuk jualan dan sembelihan. Sesekali sahaja keadaan sebaliknya berlaku. Tiada pertikaian, kerana seluruh kandang itu milik dirinya. Manusia yang memberi makan, minum, penjagaan, rawatan, perlindungan dan segala yang diperlukan oleh si kambing untuk hidup sejahtera.

Ada apa di sebalik kisah kambing?

“Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memiliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?” [Yunus 10: 31]

Mengimani bahawa Allah sebagai RABB, bahawa Dia itu Pencipta alam, Pentadbir alam, Pengatur alam dan Pemilik alam…

Namun, Iman warisan yang tiada nilai pilihan, mungkin tercicir akan hakikat ini. Justeru dalam ‘kesempurnaan’ ibadah dan ritualnya, dia terlupa akan hakikat diri sebagai HAMBA.


HAMBA YANG LUPA


Hamba yang lupa dirinya sebagai hamba, tidak bersedia untuk menerima ujian. Dalam taatnya, dengan segera dia melatah mempersoalkan kewajaran dirinya diuji.

“Apa salah anak saya. Mengapa dia yang mati, bukan saya!” kata-kata manusia yang terlupa.

Terlupa bahawa dirinya, anaknya dan seluruh ahli keluarganya, adalah milik mutlaq Allah, Pemilik mutlaq alam ini. Terikatkah Allah kepada peraturan kita bahawa anak yang sepatutnya menghantar ibu bapa ke kubur dan bukan sebaliknya?

AYAT-AYAT CINTA

“Oh, novel itu sangat bagus. Ia panduan bercinta menurut Islam,” komen gadis-gadis Islamik yang jatuh hati dengan novel Habiburrahman El Shirazy.

“Ceritanya indah sekali. Ana kepingin menjadi Fahri,” ulas seorang akh yang larut dalam kisah syahdu di bumi Kinanah itu.

Mana mungkin Habiburrahman El Shirazy menulis sebuah novel, hanya untuk membentangkan soal cinta!

Saya bukan seorang pembaca novel. Namun dek kerana gahnya karya Ayat-ayat Cinta ini, saya gagahkan jua membacanya. Sungguh luar biasa. Filemnya juga ditonton. Bukan sekali tetapi dua.

Tetapi saya tidak melihat novel itu kemuncaknya adalah cinta. Saya tidak jadi ‘mabuk cinta’ membaca bait Ayat-ayat Cinta. Sebaliknya jiwa saya remuk meneman Fahri ketika di dalam penjara, kerana di situlah mesej teragung yang sepatutnya diangkat sebagai muhasabah terbesar ke atas jiwa.

Sama ada rakan sepenjara Fahri itu adalah Profesor Abdur Rauf yang dinukil novel, atau lelaki gila tanpa nama di dalam filem, ungkapannya bagai panahan lintar menampar pipi Fahri, juga saya yang membacanya:

“Allah sedang berbicara kepadamu tentang SABAR dan IKHLAS… SABAR dan IKHLAS itulah Islam”

Ya… kesalahan Fahri adalah pada sangkaan dirinya, bahawa setelah hidup dalam ilmu dan ketaatan, beliau tidak wajar diuji. Beliau itu bersih, suci, bagai yang dimahukan oleh Allah. Apatah lagi ujian itu adalah pada sesuatu yang bertentangan dengan nilai hidupnya. Mana mungkin seorang yang begitu bersih dari menggauli manusia berlawanan jantina, tertuduh dengan sebusuk-busuk fitnah, merogol Nora?

“Apa salah saya kepada Allah???” soalan seorang manusia bernama Fahri, yang tertipu dengan dirinya sendiri.

“Istighfar! Allah sedang memberitahu kamu supaya jangan sombong! Ingat siapa diri kamu!” bicara waras seorang manusia gila.

Itulah beban Ayat-ayat Cinta, bahawa segala tentang Fahri adalah untuk mempotretkan seorang manusia yang sempurna pada ilmu, pada amal, pada ibadahnya kepada Dia. Tetapi ikhlas dan musuh ikhlas itu sulit. Sulit dan tersembunyi bagai semut hitam merayap di atas batu hitam pada malam yang hitam pekat.

MUSIBAH ITU ADA TUJUANNYA

Agar keikhlasan itu dapat dirasa, datanglah segala musibah untuk berbicara, dalam bentuk yang di luar bayangan dan jangkaan kita. Kerana kita manusia yang lupa, bahawa kita semua adalah hamba. Status yang menjadikan kita sentiasa layak untuk diuji, dan diperlakukan apa sahaja oleh Pemilik kita (dengan selautan hikmah). Masakan kita boleh terlupa bahawa sujudnya kita adalah kerana kita hamba, milik Dia?

Lulus ujian itu, meningkatlah darjat kita. Daripada seorang hamba yang kurang baik, kepada hamba yang lebih baik. Namun masih tetap seorang HAMBA.

Buruk sangka, tidak mencari ‘bicara Tuhan’ di sebalik musibah dan berantakan menyelaputi jiwa, binasalah kita sebinasa-binasanya.

Seorang lelaki yang baik, menjaga iman dan beramal soleh, difitnah berzina?

Seorang isteri yang baik, taat, melakukan segala kebaikan untuk kesempurnaan rumahtangga, dihadapkan dengan khianat suami bermain kayu tiga?

Seorang suami yang bertanggungjawab, melakukan kebaikan kepada rumahtangga tak berbelah jiwa, diuji dengan isteri dan anak-anak yang kufur nikmat bernafsu rakus meminta dunia?

Seorang anak yang datang dari sebuah keluarga bahagia, berdepan dengan keluarga mertua yang mengundang sengsara?

Seorang ibu dan seorang bapa, yang sangat menjaga hal ehwal pendidikan dan akhlaq anak-anak mereka, diuji dengan salah seorangnya menjadi pelesit menconteng arang ke muka?

Mengapa semua ini berlaku?

Itulah bicara Allah kepada kamu…

Kamu pernah mendakwa yang kamu menjaga pergaulan adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu mentaati suami dan menjaga kebajikannya adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu memelihara isteri dan anak-anak adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu menjadi anak yang baik adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa baahwa kamu menjadi ibu dan bapa yang melaksanakan segala tugasan dengan sempurna adalah KERANA DIA.

LUPA

Tetapi kamu terlupa.

Ketika kamu tidak bergaul bebas, menjaga hubungan, dan berakhlaq baik, kamu terlupa kepada Allah hingga menyangka yang kamu seharusnya menerima yang baik-baik sahaja dalam hidup ini. Bukan cela, bukan hina. Lelaki baik harus lancar memiliki perempuan yang baik.

Ketika kamu mentaati suamimu, menjaga segala keperluannya, kamu terlupa kepada Allah dan meletakkan jangkaan bahawa mencintai sama dengan memiliki, dicintai sama dengan dimiliki.

Tatkala kamu menjaga isteri dan anak-anakmu, kamu lupa kepada Allah hingga kamu sangka itu semua jasa, dan jasa mesti dibalas budi.

Ketika kamu menjadi anak soleh, kamu lupa kepada Dia dan kamu sangka kebaikanmu itu suatu jaminan. Mustahil anak yang baik dikeji manusia ibu dan manusia bapa, biar pun mereka hanya mertua.

Semasa kamu mendidik anak-anak dengan sebaik-baik didikan, kamu lupa kepada Allah lalu mengharap kebaikanmu dikenang dan dibalas mereka, hingga terlupa niat kamu berkaitan Dia.

BAIK DAN MUKHLIS

Garis yang memisahkan di antara seorang manusia yang berlaku baik, dengan seorang manusia yang ikhlas dalam kebaikannya, amat tipis.

Justeru datanglah ujian yang tidak disangka-sangka, untuk menzahirkan keikhlasan itu.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “kami beriman”, sedang mereka tidak diuji? [Al-Ankabut 29: 2]

Maka lelaki soleh yang difitnah zina, maka isteri solehah yang dikhianati suami, maka suami soleh yang dikufuri isteri, maka anak soleh yang disakiti ibu bapa, baik kandung atau mertua, maka ibu bapa solehin yang dikecewakan anak oleh perlakuan buruknya, ketahuilah bahawa ALLAH sedang berbicara kepada kamu.

Bicara untuk menyedarkan kamu, bahawa hati harus puas kerana mengikhlaskan kehambaan kepada-Nya. Bahawa sebaik mana sekali pun ibadah kamu, tanpa JIWA HAMBA, segalanya tidak bermakna.

HAMBA sentiasa sedar dirinya dimiliki dan tidak memiliki.

HAMBA sentiasa sedar dirinya sentiasa layak diuji.

HAMBA sentiasa sedar bahawa lahirnya hanya untuk DIA.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan tentang diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka. [Al-Hasyr 59: 19]

Kita sentiasa layak diuji…

Kerana kita adalah HAMBA.

Justeru hancurkanlah RASA MEMILIKI!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur


p/s apabilaku khabarkan syurga itu dipagari dengan kepayahan,ujian seperti inilah yang kumaksudkan. Tetapi, jiwa merdeka yang memiliki hati saleem bisa merungkai hikmah di sebalik mehnah hingga hanya nikmat yang dirasai..

"Ya Tuhanku, anugerahkan aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku mengerjakan kebajikan yang Engkau Redai dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh." 27:19

Dicadangkan untuk membaca artikel ini, Kenapa Mentari Cahayanya Malap , Pelik Kerja Tuhan , Usaha dan Takdir