Tuesday, March 18, 2008

UNIMAS diserang VIRUS

20 pelajar Unimas dijangkiti enterovirus
Oleh M Hifzuddin Ikhsan

KUCHING: Sekurang-kurangnya 20 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) terpaksa dikuarantin di kolej kediaman masing-masing berikutan dijangkiti enterovirus yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Kebanyakan mereka adalah pelajar wanita berusia antara 20 hingga 23 tahun, terpaksa diasingkan di Rumah Pelawat kolej masing-masing selain pergerakan mereka dihadkan kerana bimbang penyakit itu merebak. Berikutan kebimbangan itu, Unimas juga mengarahkan sebuah tadika yang menempatkan anak kakitangan universiti berkenaan ditutup serta-merta sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, pagi semalam.

Tinjauan Berita Harian di kampus Unimas mendapati keadaan adalah terkawal dengan pelajar masih dibenarkan menghadiri kuliah seperti biasa, namun pihak pengurusan universiti, mengarahkan mereka tidak terlalu banyak bergerak selain mengehadkan aktiviti luar. Penyelaras Klinik Unimas, Dr Zaharah Abdul Manap, berkata jangkitan HFMD itu bukan jenis EV71 yang mampu menyerang otak pesakit serta membawa maut. “Jangkitan ini adalah disebabkan enterovirus biasa yang tidak terlalu berbahaya dan pelajar yang dijangkiti boleh pulih dalam tempoh seminggu hingga dua minggu bergantung kepada faktor sekeliling.

“Antara simptom yang dihadapi pelajar cuma demam berpanjangan, ulser di dalam mulut serta bintik merah pada kaki dan tangan. Mereka akan sembuh selepas mendapat rawatan kami,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Dr Zaharah berkata, pihaknya tidak terlalu risau kerana pelajar yang dijangkiti enterovirus ini adalah orang dewasa dengan sistem tubuh mereka dapat melawan penyakit berkenaan namun ia mungkin mengambil masa. “Kita sudah merujuk sampel darah pesakit kepada makmal Unimas bagi memastikan jenis virus berkenaan termasuk terus memantau perkembangan kesihatan mereka sehingga benar-benar sembuh. “Masalah ini dipercayai timbul akibat faktor kebersihan pelajar dengan virus yang merebak di kawasan luar masuk ke sini dan menjangkiti pelajar di kolej kediaman," katanya.

Mengulas mengenai tindakan mengkuarantin pelajar di kolej masing-masing, Dr Zaharah berkata, tindakan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga selain memastikan pelajar yang dijangkiti tidak tersentuh rakan lain. “Ia cuma sebahagian usaha kita mengawal penyakit ini dari merebak. Mereka masih pergi ke kuliah seperti biasa cuma dinasihatkan tidak menyertai aktiviti luar saja,” katanya. Sementara itu, tinjauan Berita Harian di Kolej Alamanda mendapati dua pelajar perempuan terpaksa diasingkan di bilik khas berikutan mempunyai simptom HFMD selain tidak dibenarkan keluar dari bilik berkenaan. Seorang mangsa, Magdelene Yau, 22, pelajar bidang Bioteknologi, berkata dia sudah lapan hari tidak ke kuliah serta tidak dibenarkan keluar dari bilik berkenaan. “Ada lapan lagi rakan saya ditempatkan di sini (bilik khas) dengan ada di antara kami sudah demam sehingga dua minggu. Kami tidak boleh keluar dan makanan dihantar oleh kakitangan kolej. “Saya rasa sangat sakit pada tekak dan kerongkong, ulser pada bahagian lidah dan mulut serta bintik-bintik merah mulai timbul pada kaki," katanya ketika ditemui Berita Harian. Rakannya, Wee Suion Chien, 21, pelajar bidang Pengurusan, berkata dia terkejut apabila dimaklumkan disyaki dijangkiti HFMD selepas rakan sebiliknya turut dijangkiti penyakit berkenaan minggu lalu. Katanya, dia diarahkan masuk ke bilik berkenaan mulai semalam dan bercuti sehingga doktor membenarkan dia pulang ke biliknya dan menjalani kuliah seperti biasa.

No comments: