Monday, March 24, 2008

Ku Jatuh Cinta Untuk Ke Berapa Kalinya

23 March 2008, 11.24pm

bukan dia dan bukan daku


Sejak akhir-akhir ini, nama itu seringkali menjadi sebutan. Apatah lagi di bibir adik-adik seperjuanganku. Daku jatuh cinta pada dia. Ini bukanlah kali pertama. Untuk ke berapa kalinya, entah, daku tidak pasti. Soalan demi soalan bermain di minda. Sudikah dia menerima cintaku? Bisakah diri ini mempunyai kekuatan melafazkan rasa hati ini kepadanya? Gusar hati ini memikirkannya.

Dia yang kucintai. Wajahnya tidak sunyi dengan senyuman, bisa menenangkan hati setiap mata yang memandang. Redup renungan matanya tersembunyi seribu satu rahsia. Tutur katanya sarat dengan kata-kata motivasi yang pasti membangkitkan semangat yang lesu. Setiap baris bicaranya pasti membenihkan pengharapan kepada hati yang berputus asa. Tingkah lakunya amat teliti disulami pengorbanan. Sikapnya amat menenangkan hati setiap insan yang cuba mendekatinya. Ini amat diakui oleh adik-adik seperjuanganku. Bak kata salah seorang adikku “Penerimaan (setuju) tanpa bahas,”. Kata-katanya menyebabkan diriku tersenyum, rasanya bahang muktamar masih belum surut.

BERMULA DENGAN SEEKOR KALA JENGKING



Cinta berputik tika dia menyelamatkan seekor kala jengking dari permukaan air. Dihulurkannya ranting kayu mengharapkan kala itu berpaut di situ. Berkali-kali dihulur, tetapi sering kali kala itu membalas dengan cubaan untuk menyengatnya. Tindakannya menimbulkan tanda tanya, lantaran yang memerhati bertanya, ‘mengapakah masih ingin diselamatkan kala jengking itu? bukankah sudah berkali ia ia cuba menyengatmu?’. Dengan tenang dia menjawabnya “ia (kala jengking itu) berakhlak dengan akhlaknya dan daku berakhlak dengan akhlakku”.

Tersentuh hatiku tika terkenangkan jawapannya. Terdetik di hati, sudahkah daku berakhlak dengan akhlakku?. Benar kala jengking Allah ciptakan dengan sifat semulajadinya menyengat jika dia dalam keadaan bahaya. Atas keterbatasan akal seekor haiwan, tidak bisa membezakan antara bahaya dan bantuan. Tetapi Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian yang dilengkapkan dengan akal untuk membezakan yang benar dengan yang salah. Manusia yang sebaik-baik kejadiannya adalah manusia yang sembahyang sujud tunduk dan patuh pada Tuhannya hingga mengatakan “Ya Allah, kami dengar dan kami taat”. Jika tidak, maka belum sempurna sifat hakikat kejadiannya.


DIA DAN LIMAU



Pernah sekali dia memakan kesemua limau yang sangat masam pemberian seorang wanita tua non muslim. Mukanya tidak berkerut sedikit pun demi menjaga hati wanita tua tersebut. Kawan-kawannya memerhatikan dengan wajah hampa kerana kempunan. Peristiwa itu seringkali membuat daku tergelak kecil tika terkenangkannya. Mungkin diri ini akan mengerut setiap otot-otot muka jika berada di tempatnya. Itulah dia yang kurindui, setiap tingkah lakunya amat teliti untuk membahagiakan setiap insan yang cuba mendekatinya. Sikap yang memerlukan pengorbanan untukku teladani.


Maha Adilnya Allah mengurniakannya sahabat karib yang sanggup berkorban diri untuknya. Pernah sahabtnya merelakan dirinya dipatuk ular ketika dia yang kurindui tidur lena di pangkuannya. Kasih sungguh sahabatnya kepadanya hinggakan tidak mahu menggangu tidurnya. Bisakah daku menjadi seperti sahabatnya itu? Itulah cinta dua lelaki. Cinta yang mungkin di akhir zaman ini disalahertikan sebagai gay. Tapi, demi Allah, tidak sempurna iman seseorang sehingga dia menyintai saudaranya melebihi cintanya kepada diri sendiri. Bukan cinta wanita kepada lelaki ajnabi hingga meletakkan wala’ tanpa mahar!! Bukan Cinta perempuan dan lelaki mahram tanpa ikatan perkahwinan hingga meletakkan ketaatan kepada lelaki tersebut. Dia mengajarku erti memberi tanpa mengharap pembalasan. Daripadanya jua ku belajar erti pengorbanan dan hakikat persahabatan.

GILAKAH?



Itulah dia yang sudah sekian lama ingin ku ketuk pintu hatinya. Cintaku semakin menjalar ke tiap urat nadi. Sudikah dia menerima cintaku? Soalan ini, daku tidak pasti jawapannya sungguhpun dia telah lama pergi. Gilakah jika mengharapkan cinta seorang lelaki yang telah mati? Sehingga kini kutangisi pemergiannya. Pemergian yang hakiki kerana cinta Ilahi. Bukan kehadiran jasad yang ku harapkan. Tapi, setiap pengharapannya, kata-katanya, semangatnya. Semua itu kuharapkan kesaksianku.

Itulah coretan kisah dia yang telah pergi. Coretan kisah yang hanya kubaca daripada buku dan akhirnya membenihkan rasa cinta. Setiap coretan kisahnya seolah-olah meniti hidupku. Tika ku memandang langit, terdengar seolah-olah dirinya menyatakan “tidak Dia ciptakan semua ini dengan sia-sia”. Tika diriku ditimpa musibah, ku teringat rintihannya “Ya Allah daripadaMu musibah ini datang dan kepadaMu ia kembali maka Kau gantikanlah ia dengan yang lebih baik daripada dunia dan seisinya”. Tika diriku memangku kanak-kanak di pangkuanku, seolah-olah terdengar bisikannya “Ya Allah, Engkau sayangilah anak ini sepertimana aku menyayanginya”. Tika diriku memandang kepada yang bukan Islam seolah-olah kedengaran bicaranya “Ya Allah.Sesungguhnya mereka tidak mengetahui dan Engkau lahirkanlah di kalangan mereka hambamu yang taat.” Tika diri dilanda penyakit malas, seolah-olah bergema kata-katanya “Demi dzat yang jiwamu di Tangannya!”. Tika ku memandang gelagat manusia, daku terbayangkan bibirnya mengungkap “ummati…ummmati” (ummatku. .Ummatku…). Ya Allah, hatinya sarat dengan ayat-ayat cinta! Mana mungkin tidak diri ini jatuh cinta.



KASIH DAN SAYANGNYA DIRASAI

Tika diriku menaiki kenderaan ke satu destinasi, daku terkenangkan perjalanannya ke taif. Tika diriku melihat lebihan makanan yang tidak terhabis, daku teringat dirinya tika dia berkongsi sebiji kurma bersama-sama sahabatnya. Tika diriku makan KFC, daku terkenang dirinya mengikat batu kelikir di perut kerana menahan lapar. Tika diriku tidur keletihan di atas tilam, ku terkenangkan dirinya yang tidur keletihan di atas pelepah tamar. Tika diriku mencari-cari selipar baru untuk menggantikan seliparku yang telah putus, daku terbayangkan kasutnya yang lusuh, bertampung dan mungkin sudah bertahun tidak berganti. Tika kata-kata manusia di sekeliligku menyebabkan diriku tertawa, ku terkenangkan kata-kata manusia di sekelilingnya ketika dia menyeru mereka kepada Allah. Ya Allah! Sungguh berbeza dibandingkan hidupku dengan hidupnya. Ibarat langit dan bumi. Sedangkan dia Engkau lebih cintai daripada diriku. Sudikah dia menerima cintaku? Sudikah dia mengaku diriku ummat? Sedangkan hanya selawat lafaz cintaku.

Wahai dirimu yang ku rindui. Alangkah indahnya hidup ini andai dapat kutatap wajahmu. Kan pasti mengalir air mataku memandang wajah ketenangmu yang terpancar di sebalik bebanan pengorbanan. Ku jatuh cinta kepada sekeping hati milik Allah yang dipinjamkan kepada hambaNya bernama Muhammad bin Abdullah, Rasulullah s.a.w. Dengan namaMu ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Wahai Allah, Rahmatilah dan kurniakanlah kesejahteraan dan berkatilah penghulu kami Muhammad dan ke atas ahli keluarganya sebanyak mana bilangan kemuliaan Allah dan sebagaimana sepadan dengan kemuliaannya.

Hamas, 23 March 2008, 11.24pm
.

8 comments:

Shamsiah Mahli said...

Tahniah Hamas! Artikel yg menusuk jiwa! Teruskan usaha untuk menulis kerana ia salah satu metodologi dakwah yg sgt berkesan pada saat ini. Moga dirimu beroleh kekuatan!

nsdahlia said...
This comment has been removed by the author.
nsdahlia said...

terasa kamek baca hasil tulisan kitak tok.... teruskan :)

HaMas said...

Alhamdulillah. Doakan agar kita semua terus tegar dan diberi kekuatan daripada Allah

Anonymous said...

Salam ukhuwah.. Whatever yours is yours. Hold strong on your deen. If it has been written in Lauh Mauhfuz, then it's definitely urs. If not, then it never yours since the beginning. Allah definitely know the best for His creation..If that happens, believe that Allah will replace it with something worth better then dunia dan seisinya.

Anonymous said...

Akak...syukur dan takjub... Tahniah ats entri tok...

Anonymous said...

Seorang hamba sahaya bernama Tsauban amat menyayangi dan merindui Nabi Muhammad saw. Sehari tidak berjumpa Nabi, dia rasakan seperti setahun. Kalau boleh dia hendak bersama Nabi setiap masa. Jika tidak bertemu Rasulullah, dia amat berasa sedih, murung dan seringkali menangis. Rasulullah juga demikian terhadap Tsauban. Baginda mengetahui betapa hebatnya kasihsayang Tsauban terhadap dirinya.

Suatu hari Tsauban berjumpa Rasulullah saw. Katanya "Ya Rasulullah, saya sebenarnya tidak sakit, tapi saya sangat sedih jika berpisah dan tidak bertemu denganmu walaupun sekejap. Jika dapat bertemu, barulah hatiku tenang dan bergembira sekali. Apabila memikirkan akhirat, hati saya bertambah cemas, takut-takut tidak dapat bersama denganmu. Kedudukanmu sudah tentu di syurga yang tinggi, manakala saya belum tentu kemungkinan di syurga paling bawah atau paling membimbangkan tidak dimasukkan ke dalam syurga langsung. Ketika itu saya tentu tidak bersua muka denganmu lagi."

Mendengar kata Tsauban, baginda amat terharu. Namun baginda tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu urusan Allah. Setelah peristiwa itu, turunlah wahyu kepada Rasulullah saw, bermaksud "Barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka itu nanti akan bersama mereka yang diberi nikmat oleh Allah iaitu para nabi, syuhada, orang-orang soleh dan mereka yang sebaik-baik teman." (An-Nisaa': 69) Mendengarkan jaminan Allah ini, Tsauban menjadi gembira semula.
"Wahai manusia, dengarkan dan pahamilah; ketauhilah bahwa Allah memiliki para hamba yang mereka itu bukan para nabi ataupun syuhada. Para nabi dan syuhada ingin seperti mereka, padahal mereka memiliki kedekatan dan kedudukan di sisi Allah."Seseorang Badui berkata, "Wahai Rasulullah tolong sifatkan mereka kepada kami." Rasulullah lantas tersenyum mendengar ucapan lelaki badui tersebut , dan bersabda, "Mereka adalah orang- orang yang tidak dikenal dan asing, mereka tidak memiliki tali kekerabatan satu sama lain, mereka saling mencintai karena Allah dan menjadi satu barisan. Allah menyediakan mimbar-mimbar dari cahaya, untuk mereka sebagai tempat duduk mereka dan menjadikan wajah dan pakaian mereka bercahaya. Pada hari kiamat manusia diliputi rasa takut namun mereka tidak, mereka adalah wali-wali Allah, mereka tidak merasa takut dan bersedih." (Riwayat Ahmad, di-shahih-kan Al-Albani dalam Shahihut Targhib 3027)
Dari Anas, dia berkata, "Seorang lelaki mendatangi Rasulullah dan berkata, "Wahai Rasulullah, bilakah datangnya kiamat?' Beliau menjawab, "Apa yang telah kamu persiapkan untuk menghadapinya? " Dia menjawab, "Cinta pada Allah dan Rasul-Nya." Lalu beliau bersabda, "Sesungguhnya kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai.'"Anas berkata, "Sungguh kami tidak merasakan setelah Islam kegembiraan yang lebih hebat dari ucapan Rasulullah, "Sesungguhnya kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai.""Anas berkata, "Sesungguhnya aku mencintai Allah dan Rasul-Nya, serta Abu Bakar dan Umar. Aku berharap bisa berkumpul dengan mereka meski aku belum beramal seperti mereka." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Juga sabda Rasulullah,"Tidaklah seseorang mencintai suatu kaum melainkan dia akan dikumpulkan bersama mereka. ('Riwayat At-Tabrani dan di-shahih-kan Al-Albani dalam At-Targhib 3037).
Bahkan, bersama keturunannya yang mengikuti keimanan, akan digabung oleh Allah kelak di surga. Allah berfirman,"Dan orang-orang yang beriman dan diikuti keturunannya dalam keimanan, akan kami susulkan keturunan tersebut kepada mereka (di surga)." (At-Thur: 21)
Rasulullah bersabda,"Sesungguhnya di surga terdapa pilar-pilar dari yakut, di atasnya ada kamar-kamar dan zamrud. Kamar-kamar ini memiliki pintu yang terbuka dan bersinar seumpama mutiara." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah penghuninya? " Beliau menjawab, "Orang-orang yang saling mencintai karena Allah, orang-orang yang duduk bersama karena Allah dan orang-orang yang bersua karena Allah." (Riwayat Al-Bazzar, dilemahkan oleh Al-Albani dalam At-Targhib dan di-hasan-kan oleh para pen-tahqiq At-Targhib).
Moral & Iktibar

- Cinta kepada Rasulullah adalah cinta sejati yang berlandaskan keimanan yang tulen
- Mencintai Rasul bermakna mencintai Allah
- Kita bersama siapa yang kita sayangi. Jika di dunia sayangkan nabi, insyallah kita bersama nabi di akhirat nanti
- Hati yang dalam kecintaan terhadap seseorang akan merasa rindu yang teramat sangat jika tidak bertemu
- Pasangan sahabat yang berjumpa dan berpisah kerana Allah semata-mata akan mendapat naungan Arasy di hari akhirat kelak
- Rasulullah amat mengetahui mana-mana umatnya yang mencintai baginda, meskipun baginda sudah wafat.
- Rasulullah memberi syafaat kepada sesiapa di antara umatnya yang mengasihi baginda
- Sebaik-baik sahabat ialah mereka yang berkawan di atas landasan keagamaan dan semata-mata kerana Allah. Sumber:http://cahayamukmin .blogspot. com/

lin said...
This comment has been removed by a blog administrator.